YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, hari ini mengumumkan pembangunan semula ‘Ampang Lookout Point’ lokasi di (Bukit Ampang, Hulu Langat, Selangor) melalui satu usahasama Kerajaan Negeri dan pihak swasta iaitu Pearl Holiday (M) Travel & Tour Sdn Bhd (“Pearl Holiday”).
Majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan bagi projek pembangunan Ampang Lookout Point (ALOP) ini disertai oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Haris Bin Kasim (Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor), bersama-sama Yang Berusaha En. Azhar bin Ahmad (Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor) dan Yang Berhormat Tuan Ng Suee Lim (Exco Kerajaan Tempatan & Pelancongan).
Inisiatif pembangunan semula ALOP ini dijangka menerima sambutan hangat daripada para pengunjung yang telah lama menunggu berita sejak penutupan ALOP pada tahun 2012 dan diharapkan para pengunjung dapat sekali lagi menikmati pemandangan bandar Kuala Lumpur daripada view point yang tinggi ini.
Melalui usahasama antara JPNS untuk dan bagi pihak Kerajaan Negeri dengan Pearl Holiday, adalah diharapkan kedua-dua pihak dapat menyumbang idea untuk menambahbaik ALOP sebagai tarikan pelancong yang menawarkan produk yang menarik, berinovasi, dan kekal relevan dalam era pelancongan pasca COVID 19. Pearl Holiday mempunyai pengalaman dalam membangunkan Caravan Park di Titi, Orchard Hill di Broga, dan Sungai Lembing yang mempamerkan keindahan alam semula jadi dan warisan budaya Malaysia. Dengan kejayaan terdahulu, mereka menyasarkan untuk mengulangi perkara yang sama untuk pembangunan semula ALOP.
Kawasan yang melibatkan ALOP disifatkan sebagai kawasan pemuliharaan hutan, justeru pembangunan yang dimulakan akan hanya mengambil 20% daripada jumlah tanah di sekitar, memastikan pemeliharaan hutan selaras dengan polisi JPNS dan Kerajaan Negeri yang mempromosikan aktiviti pelancongan yang lestari (sustainable tourism). Pearl Holiday akan mengutamakan pembinaan dengan kaedah yang kurang menjejaskan alam sekitar dan menekankan amalan mampan untuk mewujudkan destinasi pelancongan yang hijau dan mampan.
Pembangunan semula ALOP dijangka menyediakan lebih banyak kemudahan untuk para pengunjung, termasuk ruang acara, dan penginapan yang berasaskan aktiviti berkhemah (glamping) dan karavan untuk menyerlahkan kecantikan alam semula jadi di kawasan tersebut.
“Kami sangat teruja untuk menghidupkan semula Ampang Lookout Point yang terkenal sebagai sebahagian daripada komitmen kami terhadap pembanguanan pelancongan yang mampan dan bertanggungjawab”, kata Pengarah di Pearl Holiday (M) Travel & Tour SDN BHD. “Matlamat kami adalah untuk memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pengunjung di samping mengutamakan pemeliharaan alam sekitar semula jadi Ampang Lookout Point akan menjadi destinasi di mana pengunjung dapat menghargai keindahan alam semula jadi, meraikan kehidupan, dan mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.”
Pembangunan semula ALOP merupakan peneraju perubahan besar dalam menarik pelancong tempatan dan antarabangsa dengan tawaran eko pelancongan yang unik. Projek ini juga sejajar dengan visi negara untuk mempromosikan pelancongan mampan dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
Tourism Selangor juga akan giat mempromosikan tarikan pelancongan ini dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti pelancongan di Selangor yang berinovasi seperti ALOP.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di http://selangor.travel/ atau ikuti kami di laman Twitter, Facebook , dan Instagram.